Sejarah Palam dan soket AC domestik

Semasa elektrik mula diperkenalkan untuk kegunaan rumah, ia asalnya digunakan untuk pencahayaan sahaja. Pada masa itu, kebanyakan syarikat pembekal elektrik mengendalikan sistem tarif berasingan di mana bayaran untuk kegunaan pencahayaan lebih rendah daripada tujuan lain. Ia membawa kepada rekaan peralatan elektrik mudah alih (seperti pembersih hampagas, kipas elektrik serta pengering rambut) yang disambung ke soket lampu.

U.S. Patent 774,250 . Palam dan soket elektrik pertama.

Walau bagaimanapun, setelah tenaga elektrik menjadi kaedah utama bagi pencahayaan rumah serta pengendalian peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga buruh, satu bentuk sambungan ke bekalan elektrik selain dari soket lampu amat diperlukan. Palam dan soket 2 pin asal dicipta oleh Harvey Hubbell dan dipatenkan pada tahun 1904. Pengeluar lain mula mengguna pakai rekaan Hubbell dan menjelang tahun 1915 penggunaannya semakin meluas, walaupun pada tahun-tahun 1920an malah lebih lama lagi, sesetengah peralatan rumah serta komersial masih menggunakan soket lampu jenis skru Edison.[3][4][5]

Palam 3 pin dicipta oleh Philip F. Labre, semasa beliau masih menuntut di Sekolah Kejuruteraan Milwaukee (MSOE). Ciptaan ini diilhamkan dari pengalamannya yang sering terkena kejutan elektrik memalamkan kipasnya yang asyik dilanggar seekor kucing milik tuan rumahnya semasa datang dari arah tingkap; Labre mendapati bahawa jika palam tersebut dibumikan, arus elektrik akan pergi ke bumi dan bukannya ke badan tuan rumahnya. Beliau memohon dan seterusnya diberikan paten bagi palam dan soket yang dibumikan pada 5 Jun 1928.[6] Setelah keperluan bagi pemasangan yang lebih selamat menjadi semakin ketara, sistem 3 pin yang dibumikan diwajibkan di kebanyakan negara industri.